nuffnang

Sunday, January 31, 2016

Allah Yang Mendengar & Memberi

Pagi ini aku berhajat untuk bersarapan nasi lemak. Sementara aku bersiap untuk keluar, sempat juga aku berfikir sendiri... di kawasan tempat tinggal ku ini tidak ada kedai yang menyediakan nasi lemak bungkus siap. Hanya mereka yang menjaja di tepi jalan atau taman-taman sahaja yang biasanya menjual nasi lemak bungkus siap. Di kedai (yang juga tak berapa banyak ada sekitar tempat ku) hanya menjual dalam pinggan atau oqhang utaqha kata taruh ataih.

Salah satu sebab aku lebih menggemari nasi lemak bungkus siap mungkin kerana rasanya yang lebih sedap (bagi aku), mudah... ambil dan makan serta yang paling utama adalah kerana untuk orang beskala besar seperti aku sememangnya dua bungkus diperlukan.. hahaha (nak ambil 3 malu). Secara teorinya...cewahh... sememangnya makan hidang dalam pinggan akan lebih banyak (harga pun lebih). Cumanya, kadangkala dalam pinggan itu agak sikit (ingat lagi tentang 2 bungkus di atas..hehe), nak ditambah lebih pula..segan. Jadinya aku akan berasa kurang kepuasan disitu...tak feel oqhang tanjung kata.

Dalam asyik mengelamun itu akupun tiba di kedai untuk sarapan. Namun kata-kata dari pelayan di kedai tersebut sedikit mengecewakanku.

"tinggal nasi sama sambal saja bang, yang lain dah habis"

Malas nak ke kedai lain dah...lagipun dah agak lewat untuk aku cari kedai lain kerana ketika itu jam sudah lebih 10 pagi, maka akupun redha sajalah makan nasi lemak dan sambal bilis sahaja (tanpa timun dan telur). Ketika pinggan yang sudah diletakkan nasi dihulur..pelayan bertanya "cukup tak nasi ni bang?" Dan seperti biasanya aku hanya mengangguk sahaja. 

Belum sempat aku meletakkan sambal ke dalam pinggan tersebut, pelayan berbunyi lagi "tinggal ini saja nasi ni, abang habiskan semualah ya" sambil menunjukkan semangkuk nasi lemak kepadaku. Tauke kedai pun ikut sampuk "habiskanlah bang, saya tak kira yang tu". Walaupun ada sedikit tersentap (siiiiiikitttlaaaa) di hati, mentang-mentangla aku gomok, suka suki ja nak suruh habiskan, namun aku terima sahaja dengan senyuman. Rezeki jangan ditolak kan kan kan...haha.

Alhamdulillah...selesai menjamu selera dengan perut yang terasa kenyang yang amat, akupun bergerak ke kereta untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang..aku teringat akan lamunan aku pagi tadi yang berasakan tak puas atau tak kenyang kalau makan nasi lemak hidang. Lantas ku tersenyum sendirian. Masyaallah...sesungguhnya Dialah yang maha mendengar. Baru ku tersedar, sesungguhnya fikiranku yang berasa tidak cukup telah Allah balas dengan memberi nasi tambah kepadaku tadi.

Terasa malu pula diriku kerana bersikap seperti tidak bersyukur dengan rezeki Allah. Mujur Allah memberi peluang kepadaku untuk menyedari akan kesilapanku itu.


Saturday, October 3, 2015

Leka Dalam Jaga

Sebagai ibu bapa, kerenah anak-anak sememangnya lumrah dalam berkeluarga. Terutamanya anak-anak yang masih kecil.

Gelagat seorang ayah bersama anak-anaknya ketika aku sedang makan malam di sebuah restoren agak menarik perhatianku. Biarpun lebih banyak mendengar si ayah bersuara dan sekadar memerhati dari hujung anak mata kerana mejaku bertentangan dengan mereka. 

Lumrah kanak-kanak gemar berlari sana sini, biarpun ditegur si ayah (dengan suara yang agak tegas kukira) namun tak diendahkan. Manakala si ibu lebih banyak mendiamkan diri.

Dalam asyik menjamu selera, aku perasan salah seorang kanak-kanak terbabit berura-ura ingin melintas jalan. Agak risau melihat gelagatnya kerana aku sedar, ada sebuah kereta yang sedang melalui jalan tersebut. Ternyata si bapa juga menyedari akan gelagat anak-anaknya, apabila aku terdengar dengan lantang beliau melarang anaknya berlari sambil memberi amaran kereta banyak melintas. Namun begitu, aku mengandaikan beliau tidak menyedari akan kehadiran sebuah kereta kerana duduk membelakangkan jalan.

Walaupun kedengaran tegas, namun hanya teguran dari jauh, sedangkan kanak-kanak terbabit sudahpun berdiri di bibir jalan sambil terkinja-kinja membuatkan aku menggeleng kepala. Namun, tindakan kanak-kanak terbabit tiba-tiba melintas jalan selepas beberapa ketika sebaik sahaja kereta tadi melalui jalan tersebut membuatkan aku sedikit terkejut. Mujurlah tidak ada kereta lain sedang lalu ketika itu. Tindakan si bapa yang sedang makan sekadar memarahi anaknya yang melintas jalan tanpa memandangpun ke arah anaknya yang sudahpun ke seberang jalan membuatkan aku sekali lagi menggeleng kepala.

Malang itu tidak pernah berbau. Namun sikap berwaspada itu perlu sentiasa ada. Sekadar menegur tanpa mengambil tindakan ada kalanya tidak begitu sesuai. Bila musibah sudah menimpa barulah nak menyesal tak sudah.

Bagi peniaga restoren pula, meletakkan meja dan kerusi makan di atas petak parking kereta tidak sepatutnya dilakukan. Perbuatan ini menyebabkan pelanggan yang menjamu selera berada betul-betul di tepi laluan kereta. Sedikit sahaja kelekaan baik dari pemandu kereta, mahupun pelanggan, apatah lagi kanak-kanak mampu memberi musibah. Oleh itu, beringatlah sebelum kena.


Tuesday, September 29, 2015

Seri Sepohon Bunga

Ketika itu, aku dan rakanku sedang meronda di sebuah taman di Sungai Petani. Dalam asyik meronda itu, rakanku terpandang serimbunan pokok dengan bunga yang berwarna ungu. Ternyata beliau begitu berminat dengan pokok bunga tersebut.

Sepanjang kami meronda di dalam taman tersebut, didapati hampir setiap buah rumah mempunyai pokok tersebut. Bezanya cuma ada yang dijaga rapi dan ada yang dibiar tumbuh melata sahaja. Melihat begitu banyak pokok bunga itu yang ditanam membuatkan rakanku tambah teruja untuk mendapatkannya.

Sehinggalah kami tiba di hadapan sebuah rumah. Kelihatan seorang makcik sedang mengikat segumpal keratan batang pokok. Melihatkan pasu-pasu bunga yang banyak menghiasi laman hadapan rumah makcik tersebut, maka aku mengandaikan makcik itu seorang yang gemar bercucuk tanam.

Rakanku yang sudah semakin teruja, tanpa segan silu bergegas mendapatkan makcik itu untuk bertanya samada dia ada menanam pokok bunga ungu tersebut. Ternyata memang rezeki mereka berdua pada hari itu. Makcik itu menerangkan, gumpalan keratan batang yang dia sedang ikat itu adalah dari pokok bunga ungu tersebut. Memang makcik itu telah berniat untuk sedekah kepada orang hari itu. Sudah semestinya jugalah rezeki rakanku kerana berjaya mendapat sehingga segumpal sedangkan niatnya ingin mendapatkan sepohon dua sahaja.

Ternyata Allah lebih mengetahui. Jika Dia sudah katakan itu rezeki kita, takkan kemana jua. Semoga makcik itu serta rakanku bertambah murah rezeki masing-masing. 


Friday, September 11, 2015

Karipap oh Karipap

Sekali sekala dalam perjalanan ke tempat kerja aku akan singgah di sebuah stesen minyak. Bukan untuk mengisi minyak pun, sekadar untuk membeli karipap..hehe.

Walaupun harga mahal sedikit dari di kedai, namun aku suka kerana isinya padat dan rasanya pun sedap. Manakala di kedai, ada kalanya cepat habis, ada masanya pula kulit saja tebal, isi tak seberapa.

Ketika berdiri di hadapan peti makanan di mana kuih muih diletakkan, aku tengok karipap tinggal 2 biji sahaja. Tidak mengapalah fikirku, aku ambil 2 biji karipap tersebut dan sedang menyepit sebiji cucur badak untuk dimasukkan sekali ke dalam bekas kertas berisi karipap tadi.

Belum sempat aku angkat cucur tersebut, tiba-tiba seorang kakak yang tadinya sedang 'mengemop' lantai menegurku dan meminta aku menunggu sebentar kerana karipap baru sedang digoreng dibelakang. Syukur, murah rezekiku hehe. Akupun meletak kembali cucur tersebut dan menunggu karipap baru dikeluarkan.

Di stesen minyak ini, setiap pembelian 2 biji karipap akan percuma satu. Walaupun aku tak ralat sangat untuk membayar 3 biji kuih kerana berbeza jenis tadi, namun syukur aku dapat juga yang 'free' ditambah pula aku lebih gemarkan karipap.

Itulah namanya rezeki. Kalau Allah nak bagi, tak kira dimana dan sebesar mana tetap akan ada. Tambahan pula, mungkin kakak yang bekerja di stesen itu seorang yang amanah. Mungkin beliau berasa tidak senang hati melihat pelanggan tidak mendapat seperti apa yang ditawarkan. Semoga beliau dimurahkan rezeki olehNya.

Tuesday, September 8, 2015

Hujan Rahmat

Semalam selepas roadshow aku sempat singgah membeli CD software Photoshop. Malangnya aku gagal 'install' ke labtopku. Hajat hati nak kubawa labtop ke kedai CD tu semula untuk minta tolong 'instalkan' namun runsing memikirkan untuk mengusungnya dengan moto kapcai akuni. Sememangnya aku jarang membawa labtop dengan kapcaiku atas faktor keselamatan.

Teringat untuk meminta tumpang rakan sekerja ke tempat roadshow. Namun terpaksa kulupakan kerana dia ada urusan lain perlu diselesaikan hari itu. Mengambil kira pelbagai faktor, aku putuskan untuk tidak membawa labtopku dan pergi seperti biasa ke tempat roadshow dengan kapcaiku.

Ditakdirkan di pertengahan lebuh raya, hujan turun dengan lebat. Habis pakaianku basah lencun, bahkan kasut pun sudah dimasuki air. Melihat keadaan diriku, dan mengambil kira tempat roadshow adalah di dalam kompleks membeli belah, aku memutuskan untuk masuk ke pejabat sahaja dan membatalkan niat ke roadshow setelah memberitahu pengurus akan keadaanku.

Namun kebetulan, belum sempat aku naik ke pejabat, rakan sekerja menelefon mengajak pergi sekali kerana urusannya dibatalkan pagi itu. Seperi biasa, aku akan tinggalkan kapcai aku disebuah stesen minyak setiap kali aku menumpang dia ke mana-mana atas urusan kerja. Dalam perjalanan ke stesen minyak tersebut, aku membiarkan angin menghembus pakaianku agar tidak terlalu basah sementelah hujan telah pun reda ketika itu.

Alhamdulillah... aku dapat juga meneruskan ke tempat tugasan walaupun dalam keadaan sedikit kurang selesa, bahkan bernasib baik juga kerana tidak membawa labtop sekali kerana ia mungkin akan dibasahi hujan dan rosak.

Syukur.. walaupun niat aku untuk menyelesaikan masalah software di labtop tidak tercapai dan dibasahi hujan pula tu, namun sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik.


p/s: Aku berjaya install sendiri software tu pada malam selepas pulang kerja. Kegagalan pada hari pertama mungkin kerana aku terlalu letih dan ditambah pula dah terlalu lama aku tidak menginstall program ke komputerku.

Sunday, September 6, 2015

Lalai Solat

Ketika itu jam menunjukkan hampir pukul 6 petang. Namun aku masih juga belum solat Asar.

Dalam fikiranku cuma ingin segera ke kedai gunting rambut kerana sudah rimas dengan rambutku yang sudah agak panjang. Kebetulan pula esok aku ada 'roadshow' selama 4 hari, jadi untuk bertemu pelanggan perlulah kemas kan??

Tiba di kedai gunting, aku lihat pelanggan terlalu ramai sehinggakan tiada satu pun kerusi menunggu yang kosong. Tidak sanggup menunggu begitu lama, akupun nekad pulang ke rumah sahaja.

Sampai sahaja ke rumah, aku melihat jam sudah pun 6.30 petang. Baru aku tersedar yang aku belum bersolat Asar.

Terdetik di hatiku... Allah tidak memudahkan aku untuk menggunting rambut, namun Dia memberiku peluang mengerjakan suruhanNya (walaupun agak lewat) sebelum tamat waktu. Jika aku terus menunggu di kedai, sudah tentu aku akan terlepas waktu Asar.

Subbahanallah...

Biarlah tidak kemas di mata manusia, asalkan 'kemas' di mataNya.